Bismillahhirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Saya amat berbesar hati dan mengalu-alukan kunjungan anda semua ke laman sesawang rasmi Pusat Pengajian Teras (PPT), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan permulaan bicara ahlan wa sahlan wa marhaban bikum.

PPT merupakan salah sebuah Pusat Tanggungjawab (PTj) di USIM yang berfungsi memberikan khidmat kepada pembangunan dan pemantapan akademik pelajar secara menyeluruh. Terdapat dua buah unit ditempatkan di bawah pengurusan PPT iaitu Unit Kursus Wajib Universiti (UKWU) sebagaimana yang dinyatakan dalam matapelajaran Pengajian Umum (MPU) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Unit Kursus Wajib USIM (UKWUSIM).

PPT menawarkan kursus-kursus bertaraf Wajib Universiti (WU) kepada para pelajar di peringkat sarjana muda dalam usaha membentuk para pelajar yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani (JERI) berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Ini adalah selari dengan hasrat negara dalam mencapai lima objektif masyarakat Malaysia berdasarkan lima prinsip dalam Rukun Negara. PPT menjalankan peranan penting ini menerusi penawaran kursus-kursus teras atau WU yang telah dimasukkan dalam struktur program pengajian setiap pelajar sarjana muda di USIM.

Selain daripada menawarkan kursus WU, PPT juga bertanggungjawab menganjurkan dan menguruskan beberapa program dan penerbitan seperti Iqra’@PPT, Daurah Kitab Turath, Persidangan Antarabangsa Tamadun, Etnik dan Turath Islami (i-STET), Seminar dan Pameran Produk Kreatif (SPARK) dan juga Jurnal Sains Insani (JSI).

Akhir sekali, diharapkan informasi yang dipaparkan menerusi laman sesawang ini mampu memberikan gambaran secara menyeluruh tentang usaha PPT dalam usaha melahirkan pelajar yang cemerlang duniawi dan ukhrawi, sesuai dengan moto USIM iaitu BERILMU, BERDISIPLIN dan BERTAKWA. Para pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat, hebahan dan aktiviti terkini PPT menerusi laman facebook (FB) Pusat Pengajian Teras, USIM dan instagram  (IG) usim_ppt .

Sebelum mengakhiri kata aluan ini, saya ingin mengajak semua untuk merenung dan mengamalkan hikmah Allahyarham Raja Ali Haji (1808-1873), sarjana dan penyair Melayu, dalam Gurindam Dua Belasnya:

“Ini Gurindam pasal yang kelima:

Jika hendak mengenal orang berbangsa, lihat kepada budi dan bahasa. Jika hendak mengenal orang yang berbahagia, sangat memeliharakan yang sia-sia. Jika hendak mengenal orang mulia, lihatlah kepada kelakuan dia. Jika hendak mengenal orang yang berilmu, bertanya dan belajar tiadalah jemu. Jika hendak mengenal orang yang berakal, di dalam dunia mengambil bekal. Jika hendak mengenal orang yang baik perangai, lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.”

Wallahu a’lam, terima kasih.
Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

ASSOCIATE PROFESSOR DR. ZORAIDA MUSTAFA
Dean
Centre for Core Studies